Tuesday, October 4, 2011

Konvensyen Tahunan DAP Perak ke-16 diadakan Ahad ini 22 resolusi dibentang untuk kelulusan perwakilan


Gambar: Wong Kah Woh (barisan duduk kedua dari kiri) mengadakan sidang media untuk mengumumkan maklumat Konvensyen Tahunan DAP Negeri Perak ke-16 di Wisma DAP Perak. Turut hadir ialah Lim Pek Har, V. Sivakumar, Teh Hock Ke (barisan duduk dari kiri) dan pucuk pimpinan DAP Perak yang lain.

Kenyataan Akhbar daripada Setiausaha Publisiti DAP Negeri Perak, YB Wong Kah Woh pada 01.10.2011 (Sabtu) di Wisma DAP Negeri Perak, Ipoh:

Konvensyen Tahunan DAP Negeri Perak ke-16 akan diadakan pada 09.10.2011 (Ahad) pukul 10 pagi di Bilik Konvensyen, Hotel Ritz Garden, Ipoh. Konvensyen tersebut dianggarkan akan menarik kehadiran lebih kurang 980 orang wakil dari 140 cawangan DAP Negeri Perak.

Pihak pimpinan DAP amat mengambil berat terhadap konvensyen pada tahun ini yang mana ia merupakan konvensyen negeri terakhir untuk DAP Perak sebelum berlangsungnya PRU ke-13 yang akan diadakan pada bila-bila masa. Konvensyen tersebut akan dibuka secara rasmi oleh Setiausaha Agung DAP Malaysia, Sdr. Lim Guan Eng, manakala Pengerusi DAP Perak Sdr. Ngeh Koo Ham akan menyampaikan ucapan polisi DAP Perak untuk satu tahun yang akan datang.

Memandangkan rombongan perwakilan adalah amat besar, para perwakilan dari cawangan-cawangan DAP Perak adalah digalakkan supaya mendaftarkan diri pada konvensyen seawal yang mungkin yang mana kaunter pendaftaran akan dibuka seawal 8.30 pagi.

Pada masa yang sama, demi menghadapi PRU ke-13 yang akan datang, Jawatankuasa DAP Negeri Perak akan mengemukakan 22 resolusi untuk diterima oleh perwakilan dalam konvensyen tersebut. Kesemua 22 resolusi tersebut meliputi isu-isu dan polisi-polisi Negara dan Pakatan Rakyat demi kepentingan Rakyat dalam bidang politik, ekonomi, pendidikan, agama.

Resolusi-resolusi tersebut akan dibentangkan dan dibuka untuk perbahasan oleh para perwakilan. DAP Perak berharap supaya kesemua resolusi tersebut dapat diterima sebulat suara oleh para perwakilan.

Resolusi yang dibentangkan oleh Jawatankuasa DAP Negeri Perak untuk Konvensyen Tahunan DAP Perak ke-16 pada 09.10.2010 di Hotel Ritz Garden, Ipoh:

Titik Hitam Sejarah Negeri Perak

1. MENGECAM tindakan Barisan Nasional dalam rampasan kuasa Negeri Perak yang berlaku pada bulan Februari 2009 yang menyebabkan krisis perlembagaan yang berlarutan dan kelumpuhan Dewan Negeri Perak dan MENYERU Warga Negeri Perak untuk menyokong calon-calon Pakatan Rakyat dalam Pilihanraya yang akan datang demi memulihkan sistem demokrasi di Negeri Perak.

Keadilan untuk Sdr. Teoh Beng Hock

2. MENDESAK Pendakwaraya untuk mengambil tindakan dan mendakwa 3 orang Pegawai Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia yang dinamakan dalam laporan Suruhanjaya Diraja yang telah melanggari prosedur penyiasatan dan secara tidak langsung menyebabkan kematian Sdr. Teoh Beng Hock di bawah Kanun Keseksaan.


Politik, Ekonomi, Pendidikan dan Agama

3. MEMUJI kuasa Rakyat yang berjaya memaksa Kerajaan Pusat Barisan Nasional mengumumkan untuk pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 MENDESAK Kerajaan untuk memohon maaf kepada kesemua tahanan ISA yang telah sebelum ini ditahan tanpa perbicaraan serta melepaskan kesemua tahanan ISA atau menghadap mereka ke Mahkamah untuk suatu perbicaraan yang adil MENYERU Kerajaan Pusat Barisan Nasional yang bakal menggubal 2 undang-undang baru sebagai gantian kepada Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 untuk memastikan bahawa tidak ada budi bicara subjektif yang diberikan kepada Menteri atau pihak polis untuk menahan seseorang tanpa perbicaraan di Mahkamah.

4. MENDESAK Kerajaan Pusat Barisan Nasional memansuhkan Akta Rahsia Rasmi, Akta Percetakan dan Penerbitan, Akta Kolej dan Universiti serta segala undang darurat secara keseluruhan demi menepati intipati Demokrasi dan Konsep Keadilan.

5. MENDESAK Kerajaan Pusat Barisan Nasional untuk memansuhkan peruntukan permit penerbitan secara keseluruhannya untuk menjamin kebebasan penyebaran maklumat.

6. MENYERU Kerajaan Pusat Barisan Nasional meminda Akta Kerajaan Tempatan 1960 dan membolehkan pemulihan pilihanraya kerajaan tempatan.

7. MENYESAL Kerajaan Pusat Barisan Nasional yang sehingga kini enggan dan gagal untuk mengiktiraf hak berkumpul secara demokrasi yang terjamin bawah sistem demokrasi dan MENDESAK Kerajaan Pusat Barisan Nasional untuk memberikan layanan adil dan saksama kepada semua parti politik tanpa diskriminasi.

8. BERIKRAR untuk mempertahankan perjuangan parti berlandaskan falsafah demokratik sosial dan visi Malaysian Malaysia dan komited untuk merealisasikannya menerusi urus tadbir yang baik dan beretika dan melalui penggubalan undang-undang, politik dan program oleh Kerajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan bawah pimpinan Pakatan Rakyat.

9. MENYERU Kerajaan Pusat Barisan Nasional untuk mengambil tindakan drastik dalam mengupah kakitangan bukan Melayu memandangkan isu berkenaan ketidakseimbangan kaum di sektor perkhidmatan awam adalah amat serius.

10. BERUSAHA menghapuskan doktrin perkauman sehingga ke akar umbi dan seterusnya meningkatkan hubungan sesama rakyat, kakitangan kerajaan, ahli politik dan badan-badan bukan kerajaan (NGO).

11. MENYERU Kerajaan Pusat Barisan Nasional mengkaji semula Perjanjian Konsesi Lebuhraya Utara-Selatan dan MENCABAR Kerajaan Pusat Barisan Nasional untuk menghapuskan segala kutipan tol Lebuhraya Utara Selatan.

12. MENYERU Kerajaan Persekutuan untuk meminda Akta Pendidikan 1996 supaya menjamin kedudukan kesemua sekolah jenis kebangsaan di Negara ini.

13. MENGUTUK Kerajaan Pusat Barisan Nasional yang masih gagal dan enggan untuk mengiktirafkan Sijil Unified Exam SUWA dan MENDESAK Kerajaan Pusat Barisan Nasional untuk mengiktirafkan Sijil Unified Exam SUWA dengan segera tanpa syarat dan MENDESAK Kerajaan Pusat Barisan Nasional memberikan peruntukan tetap yang mencukupi kepada Sekolah SUWA dan Sekolah Agama Rakyat.

Polisi Pakatan Rakyat dan Perjuangan berlandaskan Rakyat

14. BERJANJI akan mempertahankan kebajikan Rakyat dan mengemukakan semula polisi pemberian hakmilik kekal untuk Rancangan Kampung Tersusun dan Kampung Baru Cina sekiranya Pakatan Rakyat kembali ke tampuk pemerintahan Negeri Perak.

15. MENYOKONG pendirian Pakatan Rakyat Perak untuk memberikan pembaharuan Geran tanah sekurang-kurangnya selama 99 tahun secara automatik untuk tanah-tanah perusahaan, pertanian dan perumahan (jenis pajakan) dengan bayaran premium yang munasabah dan tidak membebankan Rakyat.

16. MENYOKONG Pakatan Rakyat Perak untuk meneruskan polisi pemberian tanah untuk menampung keperluan golongan bukan Islam untuk mendirikan kuil dan gereja.

17. MENGUTUK tindakan Indah Water Konsortium yang mengambil tindakan Mahkamah terhadap Rakyat yang bertujuan memaksa Rakyat membayar caj pembetungan tanpa memberikan perkhidmatan kepada penghuni-penghuni premis berkenaan.

18. BERJANJI bahawa Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri akan memberikan peruntukan khas sebanyak RM5 juta setahun untuk membantu golongan kaum India yang memerlukan dan miskin apabila menjadi Kerajaan Negeri semula di Negeri Perak.

19. MENYOKONG rancangan Pakatan Rakyat Perak untuk memberikan tanah atau menjual rumah yang siap terbina dengan harga diskaun untuk tujuan kediaman kepada mereka yang tidak mempunyai rumah khasnya rakan-rakan India di estet dan mereka yang tinggal di rumah setinggan.

20. BERPENDIRIAN bahawa institusi Ketua Kampung diiktiraf di sisi undang-undang dan pilihanraya demokrasi dijalankan untuk memilih Ketua Kampung dan MENDESAK Kerajaan Barisan Nasional Negeri Perak untuk membentangkan Rang Undang-Undang di Dewan Negeri untuk mencapai matlamat tersebut.

21. MENDESAK Kerajaan Barisan Nasional untuk menyenaraikan semua penerima 68,503 ekar tanah yang telah diluluskan oleh Kerajaan Barisan Nasional Perak sejak rampasan kuasa.

22. MENDESAK Kerajaan Barisan Nasional untuk mengkaji semula perjanjian Independent Power Producer (IPP) supaya membolehkan Tenaga Nasional Berhad untuk menawarkan bekalan elektrik dengan tarif yang lebih murah.

Parti Tindakan Demokratik (DAP)

No comments:

Post a Comment